Sponsored Event


Sakit Leher Berpunca Daripada Salah Bantal


Bilakah kali terakhir anda menukar bantal lama dengan bantal baru? Jika anda tidak dapat mengingatinya, anda tidak keseorangan. Hakikatnya, bantal sering dianggap hal 
remeh-temeh dan merupakan isu akhir yang menjadi topik perbincangan.Kepada pakar tidur Pusat Perubatan dan Sains Tidur Stanford, Dr. Rafael Pelayo yang terlibat secara langsung dalam perubatan tidur, beliau juga bersetuju dengan pandangan tersebut.

“Selama 22 tahun terlibat dalam bidang ini, tidak pernah seorang pun yang bertanya kepada saya tentang hal ini,” katanya. Hakikatnya, sains juga tidak dapat menentukan bilakah masa yang sesuai untuk menukar bantal. Konsultan dan pendidik yang menggelarkan dirinya sebagai duta tidur, Nancy Rothstein, berkongsi tip dan masa untuk bertindak membeli bantal baru.

“Jika anda mempunyai bantal tidak berbusa, lipatkannya menjadi dua, Jika bantal tersebut tidak kembali kepada bentuk asalnya, itu menandakan anda perlu membeli bantal baharu.”

Satu pertiga daripada kehidupan kita dihabiskan dengan tidur. Sehubungan itu, tidak hairanlah sesetengah daripada kita mempunyai bantal khas atau bantal busuk yang menjadi peneman setia tatkala ingin melelapkan mata.


“Apa saja yang dapat memberi keselesaan akan memberi nilai tambah untuk tidur yang baik,” kata pakar tidur di Harvard-Brigham dan Hospital Wanita, Dr. Lawrence Epstein.


Bagaimanapun, bantal yang sering menjadi ‘teman setia’ ini boleh membantu seseorang tidur nyenyak atau sebaliknya mengundang kesakitan. Adakalanya ia boleh menjadi punca seseorang mendapat sakit leher atau lebih dikenali sebagai salah bantal.


“Jika leher bengkok pada mana-mana arah dalam jangka masa lama, anda akan rasa kurang selesa,” kata ahli terapi fizikal di Hospital Rehabilitasi Spaulding, Matthew O’Rourke dalam satu laporan yang disiarkan oleh Havard Medical School baru-baru ini.


Menurut O’Rourke mereka yang tidur meniarap pula dengan kepala di sisi sebenarnya tidur dalam keadaan pusingan penuh dan boleh menimbulkan kesakitan. Mereka yang tidurnya sering terganggu memberi kesan secara tidak langsung. Tubuh tidak mempunyai masa yang cukup untuk pertumbuhan otot, pembaikan tisu dan lain-lain fungsi tubuh ketika kita tidur. Keadaan ini juga mempengaruhi mood, kemahiran berfikir dan selera makan. Kegagalan mendapat tidur mencukupi meningkatkan risiko pengsan, obes, diabetes, hipertensi dan penyakit jantung.


Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang mengalami sakit leher termasuklah penggunaan bantal yang kurang sesuai. Penggunaan bantal yang betul bukan sekadar untuk memberi keselesaan sahaja.


Bahkan ia penting untuk menyokong struktur kompleks kepala, leher, bahu, pinggul dan tulang.


“Kegagalan menggunakan bantal yang sesuai boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sakit leher, pinggang, bahu, pinggul, sendi-sendi dan saraf. Pada masa sama, ia juga mengurangkan kualiti tidur seseorang,” jelas ahli fisioterapi Hospital Columbia Asia Petaling Jaya, Intan Marliana Tazari.


Leher mempunyai lengkungan semula jadi yang perlu dikekalkan semasa berbaring. Menurut Intan Marliana, tidur tanpa bantal dapat membantu mengekalkan kedudukan lengkungan tersebut, namun ia mungkin menyebabkan seseorang berasa kurang selesa.


Tekanan


Sekiranya seseorang memerlukan bantal di bawah kepala, pastikan ia tidak terlalu tebal atau nipis kerana leher mungkin dipaksa ke dalam pada kedudukan yang lebih tertekan (hyper flexed atau hyper extend position).


“Keadaan ini menyebabkan tekanan meningkat pada otot leher, sendi dan saraf,” jelasnya ketika dihubungi.


Beliau berpendapat, bagi mengelakkan sakit leher, ada banyak perkara yang perlu diambil kira. Antaranya pemilihan bantal yang bersesuaian, tidak terlalu tebal atau nipis serta posisi ketika tidur. Penggunaan tilam memori sangat digalakkan.


Mereka yang mengalami sakit leher dinasihatkan supaya mengelakkan tidur meniarap kerana ia menyebabkan otot leher kaku.


“Sebaik-baiknya tidurlah dengan posisi mengiring atau menelentang. Pastikan bantal cukup tebal semasa tidur mengiring untuk mengurangkan tekanan di bahu, pinggul dan belakang,” jelasnya.


Intan Marliana berkongsi kaedah terbaik apabila seseorang mengalami salah bantal. Antaranya ialah menuam ais di tempat yang sakit dan melakukan senaman regangan pada otot leher dan bahu.


“Jika bantal sudah lama, mungkin boleh menggantikannya dengan bantal baharu yang lebih sesuai atau individu terbabit mengubah posisi tidur.


“Bagaimanapun, jika kesakitan masih belum reda, sebaik-baiknya dapatkan bantuan daripada doktor pakar atau pakar fisioterapi untuk rawatan dan proses pemulihan,” katanya.

No comments